SATU KAJIAN KES MENGENAI MASALAH
IMPLIMENTASI KBKK DI KALANGAN GURU PELATIH
SEMESTER LIMA 1995 DI MAKTAB PERGURUAN BATU PAHAT

Oleh

Johari bin Talib
Jabatan Pendidikan

SINOPSIS

PENDAHULUAN

Penyelidikan ini adalah satu kes kajian yang dijalankan di kalangan 40 orang guru pelatih Maktab Perguruan Batu Pahat dari Semester Lima yang sedang menjalani latihan praktikum di sepuluh buah sekolah rendah di daerah Batu Pahat. Kajian kes ini adalah sesuai dengan ‘trend’ semasa di mana terdapat banyak pihak membicarakan penyebatian dan aplikasi aspek-aspek yang berkaitan dengan kemahiran berfikir dan kemahiran belajar dalam bilik darjah. Kajian ini penting dijalankan kerana kajian ini berkaitan dengan pembaziran pendidikan áiaitu keciciran, kegagalan menguasai kemahiran asas 3M, kegagalan menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kajian seperti ini dapat dijadikan garis panduan untuk menentukan samada program KBKK yang digerakkan oleh pihak-pihak tertentu dengan perbelanjaan yang tinggi memberikan manfaat kepada guru, guru pelatih dan murid-murid. Kajian seperti ini juga perkara ini telah banyak telah dijalankan di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Objektif

Mengikut perkembangan semasa, KBKK sedang giat cuba disebatikan dalam kurikulum pendidikan Malaysia. Kajian ini cuba meneroka masalah yang dihadapi oleh guru pelatih Semester Lima yang menjalani latihan praktikum di sekolah-sekolah rendah. Secara khusus kajian ini cuba menjawab persoalan-persoalan berikut:

  1. Apakah masalah aplikasi KBKK dalam bilik darjah yang dihadapi oleh guru pelatih Semester Lima semasa menjalani latihan praktikum?
  2. Apakah punca masalah penyebatian KBKK di sekolah rendah?
  3. Apakah persepsi guru pelatih Semester Lima terhadap input yang mereka dapati mengenai KBKK yang mereka ikuti semasa berada di maktab dan selepas itu?
  4. Apakah yang patut dilakukan pada masa akan datang bagi mengatasi masalah semasa berkaitan dengan penyebatian KBKK dalam bilik darjah?

Sampel

Sampel kajian kes ini ialah 40 orang guru pelatih Semester Lima 1995, Maktab Perguruan Batu Pahat yang menjalani latihan praktikum mulai Jun hingga Oktober 1995. Jumlah 40 orang adalah sesuai untuk kajian kes ini. Kesemua responden mengajar murid-murid tahun 3 hingga 5 di sekolah rendah. Kajian kes ini melibatkan tiga orang pensyarah sebagai pemerhati dan penyelia di sepanjang latihan praktikum tersebut. Setiap pensyarah membuat pemerhatian sebanyak empat kali tidak termasuk subjek Pendidikan Jasmani. Tiga orang pensyarah yang dipilih adalah sesuai berdasarkan latarbelakang pendidikan dan pengalaman mereka. Dua orang dari mereka pernah menjadi sukarelawan selama tiga setengah tahun di sebuah sekolah kawasan kelas pertengahan di Mc Lean Virginia, Amerika Syarikat. Seorang darinya menerima pendidikan di United Kingdom dan pernah mengajar di sekolah rendah secara tetap selama 6 bulan. Kesemua pensyarah pemerhati mempunyai ijazah Sarjana Pendidikan.

KAEDAH PENYELIDIKAN DAN INSTRUMEN

Penyelidik mendapat maklumat dan data melalui dua kaedah iaitu pemerhatian dan temuduga berstruktur. Prosedur mengumpul maklumat bermula dengan pemerhatian dalam bilik darjah oleh pensyarah terlibat. Apabila sesuatu pelajaran telah selesai pensyarah akan menemuduga responden dan membimbing mereka. Pemerhatian dan temuduga dijalankan selama empat kali. Antara soalan-soalan yang dikemukakan dalam sesi temuduga adalah seperti berikut:

  1. Adakah guru pelatih faham akan isi kandungan kursus KBKK yang dijalankan selama dua minggu apabila sahaja mereka mendaftarkan diri pada Jun 1993?
  2. Adakah guru pelatih mengetahui objektif dan kepentingan kursus KBKK?
  3. Mampukah mereka membuat penyebatian semasa praktikum selepas mengikuti kursus KBKK di maktab?
  4. Adakah pensyarah mengembangkan ide KBKK semasa memberi kuliah dan tutorial?
  5. Apakah masalah guru pelatih dalam mengaplikasi KBKK dalam bilik darjah?
  6. Adakah guru pelatih membuat percubaan mengajar menggunakan pendekatan KBKK? Jika ada, apakah garis panduan yang digunakan?
  7. Apakah harapan guru pelatih terhadap KBKK pada masa akan datang?

Maklumat responden disertai oleh hasil pemerhatian tiga orang pensyarah yang turut membuat penilaian terhadap strategi yang dirancang responden.

Batasan Kajian

Kajian ini hanyalah satu kajian kes yang melibatkan 40 orang guru pelatih Semester Lima di Maktab Perguruan Batu Pahat. Batasan bagi kajian ini ialah: 1. Kajian hanyalah melibatkan sepuluh buah sekolah rendah sahaja di daerah Batu Pahat. 2. Kajian ini hanya melibatkan guru pelatih Semester Lima sahaja kerana mereka dianggap telah matang dan bersedia untuk menjalani profesion perguruan yang sebenarnya. 3. Dapatan kajian boleh berubah pada masa akan datang jika program KBKK turut berubah. Sungguhpun demikian, adalah diharap kajian ini dapat memberi garis panduan pada masa akan datang dalam menangani masalah aplikasi KBKK dalam bilik darjah.

ANALISIS DATA

Bahagian ini mengandungi dua bahagian kecil iaitu: a) Analisis Data yang menggambarkan situasi yang dihadapi responden berkaitan dengan penyebatian KBKK dalam bilik darjah dan b) rumusan masalah yang dihadapi semasa mengaplikasikannya dalam bilik darjah yang sekaligus merupakan kesimpulan dari dapatan kajian kes ini. Sejumlah 70% (28) dari responden faham akan isi kandungan isi kursus KBKK terutamanya kemahiran belajar, manakala selebihnya, 30% (12) merasa kurang faham. Sungguhpun begitu, sejumlah 95% (38) dari responden tidak menyedari bahawa KBKK ada kaitan dengan kursus keguruan yang mereka ikuti. Mereka menganggap kursus tersebut hanyalah sebagai penyuburan kendiri, lantas kurang memberikan perhatian terhadapnya. Sejumlah 90% (36) dari responden berpendapat mereka gagal mengaplikasikan KBKK dalam bilik darjah. Sejumlah 40% (20) mencuba secara ætrial and error’ apabila diminta berbuat demikian oleh pensyarah penyelia. Mereka sendiri kurang pasti sama ada cubaan itu betul atau tidak sehinggalah dibimbing pensyarah. Menurut rumusan ketiga-tiga pemerhati, tidak seorang pun dari responden benar-benar mempunyai kemahiran mengaplikasi dan membuat penyebatian KBKK dalam bilik darjah. Hanya setelah dibimbing barulah terdapat 20% (8) dari responden cuba membuat penyebatian tetapi pada tahap memuaskan sahaja. Sebahagian besar dari guru pelatih gagal meyakinkan bahawa mereka memahami konsep KBKK. Begitu juga dari segi penyebatian konsep dengan isi pelajaran. Sebahagian besar dari aktiviti-aktiviti kurang memberi penekanan kepada kebolehan meramal, membuat keputusan, menyelesai masalah, bercerita semula dan berfikir-menulis-membaca. Responden terlalu bergantung kepada lembaran kerja berpandu yang kadangkala bukan merupakan aktiviti pengayaan. Ini kurang menggalakkan murid berfikir. Sejumlah 90% (36) dari responden berpendapat tiada aktiviti susulan dari pensyarah selepas kursus pengenalan yang diberikan kepada mereka. Ini termasuklah pensyarah pendidikan dan perkaedahan. Pensyarah pendidikan masih terus memberikan kaedah-kaedah secara umum tanpa input penyebatian KBKK dalam isi pelajaran dan strategi. Sesi tutorial pula lebih merupakan sesi pembentangan kertas kerja dari mula semester hinggalah ke akhir. Tiada input baru yang diperolehi oleh responden. Ini menyebabkan responden kurang kemahiran sehingga mereka menjalani latihan pratikum. Pensyarah pemerhati merumuskan bahawa hampir semua pelatih gagal menunjukkan bahawa mereka faham konsep KBKK. Kesannya, strategi yang dibina tidak menepati prinsip-prinsip perkembangan efektif KBKK dalam bilik darjah. Responden juga lemah beberapa kemahiran mikro yang sangat jitu dalam perkembangan KBKK di kalangan kanak-kanak. Sebahagian besar responden kurang menguasai kemahiran menyoal yang turut melibatkan teknik-teknik æprobing’ bentuk soalan yang dikemukakan dan arasnya. Responden juga tidak faham prinsip penyebatian KBKK, sahsiah guru yang dikehendaki serta iklim bilik darjah yang wajar dibentuk. Responden ternyata tidak mempunyai garis panduan. Kesemua responden berharap pada masa akan datang pendedahan KBKK dijalankan pada masa dan jangka yang lebih sesuai, lebih bermakna, ada aktiviti susulan, lebih luas dan melibatkan semua pensyarah.

Masalah-masalah

Pendedahan KBKK kepada guru pelatih tidak mencukupi. Pendedahan yang diperolehi lebih merupakan asas kasar sahaja. Tiada program susulan selepas itu. Keadaan sebenar tidak menggalakkan kerana kurangnya sumber rujukan dalam Bahasa Melayu. Jika program KBKK ini berasaskan kepada model Amerika Syarikat, program ini masih belum mencukupi. Masih banyak aspek kemahiran dan berfikir yang tidak dimasukkan ke dalam kurikulum KBKK. Program yang dijalankan sebaik sahaja guru pelatih mendaftar di maktab adalah tidak sesuai. Ini disebabkan mereka belum lagi dapat menyesuaikan diri dalam suasana baru dan belum bersedia untuk mengikuti kursus dengan baik.

Ini berkaitan dengan kemahiran para pensyarah. Guru pelatih kurang terdedah kepada aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada perkembangan KBKK. Kesannya, sebahagian besar aktiviti yang dijalankan oleh guru pelatih dalam bilik darjah adalah aktiviti yang berpandu. Pelatih juga gagal menguasai prinsip-prinsip aplikasi KBKK. Kemahiran berfikir dan kemahiran belajar hendaklah dijalankan serentak. Contoh kebiasaan yang dilakukan bagi pelajaran Bahasa Melayu ialah guru memberi arahan murid membaca senyap; guru memilih beberapa orang murid membaca kuat, murid di minta mencari perkataan sukar, murid diberi lembaran kerja kefahaman, lembaran kerja mencari perkataan bertentangan dan murid disuruh membina ayat. Aktiviti hanya diarahkan oleh guru sahaja, tetapi kemahiran belajarnya tidak diterapkan. Bagaimana membaca senyap, membaca kuat?, mencari isi?, apakah gunanya peta minda dalam kefahaman, bagaimana mencerakin isi, bagaimana membina soalan?. Aktiviti-aktiviti berlandaskan Baca-Fikir-Tulis (R-T-W), KWL, KWL-Plus, Penulisan Jurnal Bergambar, Jurnal dan Peta Minda, “Story mapping”, Q-A-R, T-P-W, “Think Aloud”, Mengingati semula seperti “Loci”, “Link”, “Peg”, “Mnemonic Devices”, “Story Log” dan banyak lagi sebenarnya tidak pernah muncul. Pelajar-pelajar juga tidak didedahkan kepada pra-syarat implementasi program KBKK yang melibatkan pengumpulan maklumat, memproses data dan pemikiran intregratif. Tambahan lagi, guru pelatih tidak terdedah kepada strategi kumpulan kemahiran berfikir aras tinggi, kemahiran berfikir pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran berfikir integratif. Tidak menghairankan jika isi pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Ingegeris berkisar kepada cerita rakyat, berita akhbar, puisi, cerita semasa, kisah bandar dan kampung, dan lawatan. Jarang sekali pelajar memilih isi pelajaran berkaitan dengan Sains, Sejarah, Geografi, masakan dan fiksyen sains. Jika syair dipilih, dari guru hinggalah ke murid, semuanya akan bersyair. Tiada usaha menyuruh murid membina syair, memindahkan isi syair dalam bentuk æsemantic mapping’ atau 'story mapping’ atau memberi murid pengalaman mengingati semula melalui pendekatan ælink method’. Guru gagal menggalakkan murid berfikir secara integratif. Di Amerika Syarikat, isi pelajaran bahasa murid-murid gred tiga merangkumi aktiviti-aktiviti ‘self-esteem’, mengenal jiran anda iaitu Mexico, apakah yang akan anda lakukan jika dihampiri orang yang tidak dikenali (jurnal), apakah yang akan anda lakukan jika terdapat wayar elektrik hidup dan terputus, (jurnal), langkah-langkah ‘CPR’ (jurnal bergambar), lima sebab kenapa anda menyayangi bapa anda (jurnal), cerita semula, fikir, rancang, laporan lawatan ke ladang labu (jurnal). Semuanya berasaskan strategi Fikir-Tulis-Baca di mana di bawahnya terdapat berpuluh-puluh strategi lain. Sekolah-sekolah di Malaysia kurang menggalakkan murid membuat lakaran bebas yang merupakan asas kepada “mapping” dan “graphic organizer”.

Terdapat dua kelompok pensyarah yang sepatutnya sudahpun menguasai kemahiran penyebatian KBKK iaitu pensyarah pendidikan dan perkaedahan. Kurikulum ilmu pendidikan, psikologi pendidikan dan pedagogi masih terlalu umum. Pensyarah hanya menggariskan kaedah-kaedah mengajar seperti bercerita, berbincang dan berbahas, tetapi teknik-teknik bercerita ke arah mengembangkan kemahiran bercerita tidak disentuh. Kursus induksi KBKK bagi pensyarah yang diadakan selama seminggu masih belum mencukupi. Strategi penyebatian tidak disentuh lagi. Ini belum lagi melibatkan guru-guru yang telah lama mengajar di sekolah. Terdapat kes di mana berlaku perselisihan faham antara guru pembimbing dengan guru pelatih apabila idea penyebatian KBKK cuba diimplementasikan di sekolah-sekolah oleh guru pelatih.

Jika berlandaskan prinsip perkembangan KBKK di Amerika Syarikat, terdapat amalan-amalan dalam bilik darjah di Malaysia kurang sesuai dengan prinsip implementasi KBKK. Masa pengajaran selama 30 hingga 40 minit tidak cukup untuk aktiviti kerana masanya singkat. Tidak menghairankan jika guru tergesa-gesa dalam semua aktiviti kerana masanya singkat. Tidak terfikirpun oleh guru bahawa mereka perlu memupuk perkembangan KBKK. Kadangkala guru menjawab soalannya sendiri dan impulsif. Sukatan pelajaran sekolah rendah agak mengongkong aktiviti KBKK, kurang menggalakkan guru lebih kreatif dan semakin ramai guru menggunakan buku-buku latihan dalam pasaran. Pendekatan yang lebih sesuai adalah berasaskan konsep integrasi, “theme teaching”, “experiential learning”, kemahiran berfikir serentak dengan kemahiran belajar, pengajaran berpasukan dan membentuk iklim pembelajaran yang menyeronokkan.

CADANGAN

Bahagian ini akan mengemukakan cadangan-cadangan ke arah menangani persoalan, masalah penyebatian dan implementasi program kemahiran berfikir ke dalam kurikulum sekolah rendah dan maktab perguruan di Malaysia. Perbandingan dengan apa yang telah dilakukan di Amerika Syarikat mungkin boleh dijadikan garis panduan bagi menangani masalah ini. Apa yang lebih penting ialah perkara ini memerlukan gabungan kerjasama dan tanggungjawab semua pihak yang terlibat.

Program Kemahiran Berfikir

Pihak yang terlibat hendaklah memastikan program-program yang hendak diikuti. Program yang hendak dipilih hendaklah diselaraskan perlaksanaannya supaya tidak timbul percanggahan.

Penggembelingan Semua Pihak

Untuk memastikan semua program ini berkesan, usaha bersama semua pihak perlu diselaraskan. Misalnya, usaha ini hendaklah melibatkan Pusat Perkembangan Kurikulum, Bahagian Buku Teks, Bahagian Pendidikan Guru dan Bahagian Sekolah-Sekolah supaya tidak timbul pertindihan dari segi perlaksanaan. Jika hanya buku teks sahaja berubah tetapi guru kurang kemahiran hasilnya akan pincang.

Kemahiran Berfikir dan Kurikulum Perguruan

Pengetahuan kemahiran berfikir hendaklah dimasukkan ke dalam bidang Psikologi Pendidikan, Perkaedahan dan Pedagogi. Buku-buku teks Psikologi Pendidikan di Amerika mulai 1980 telah memasukkan topik kemahiran belajar dan berfikir sama ada di bawah bab utama, iaitu Minda atau digabungkan bersama bab Pembelajaran. Bab ini merangkumi topik Fikir, Memori, Ingatan/Lupaan, Minda, Metakognitif, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Belajar, Strategi dan Prinsip. Rujuk buku Educational Psychology oleh Gage/Berliner (1992) yang menjadi teks utama George Washington University dan George Town University. Topik KBKK di bawah bab Memory, Cognitive, Processing and The Transfer of Learning. (m.s. 271-325).

Peranan Guru dan Pentadbir

Pihak pentadbir sekolah dan guru hendaklah berusaha membentuk iklim sekolah dan bilik darjah yang menggalakkan perkembangan minda. Kadangkala terdapat kelas yang saiznya kecil tetapi ruang yang luas di belakang tidak dimanfaatkan dengan baik. Ruang pameran dipenuhi dengan buku-buku yang tidak pernah bertukar. Begitu juga bahan-bahan yang digantung.

Guru Hendaklah Kreatif

Kreativiti guru boleh dipupuk dan dikembangkan melalui minat dan usaha. Untuk peringkat rendah, guru sepatutnya menggunakan pelbagai bahan dan bukan semata-mata bergantung kepada buku teks. Pendekatan tema dan pengajaran berpasukan boleh dijalankan di sekolah jika guru diberi kelonggaran membina program mereka sendiri. Hari ini semakin banyak sekolah mengamalkan sistem waktu anjal dan ini adalah satu petanda baik untuk menjalankan pendekatan melalui tema berasaskan masa dan kemahiran yang sesuai. Semua halangan ke arah perkembangan kognitif murid hendaklah dihapuskan di semua peringkat. Ini termasuklah pada peringkat perancangan, penyelarasan semua pihak yang terlibat hinggalah ke peringkat latihan perguruan dan implemantasi di sekolah.

BIBLIOGRAFI

Allen, V. (1984). Techniques in Teaching Vocabulary. New York: OUP

Cairney, T. (1990). Balancing The Basics. New York: Ashton Scholastic

Gillet, J. W; Temple, C. (1990). Understanding Reading Problem. Virginia: Harper Collin.

Gerllet, F. (1981). Developing Reading Skills, New York: CUP

Tied; Mc Clellan, I. (1989). Reading/ Thinking/Writing. A Holistic Language Literacy Program for K-8 Classroom, Toronto: Allyn and Bacon.

Amstrong, W., Lampe II, (1990). Study Tips : How To Study and Get Better Grades. New York: Barron’s Educational Series.

Gage N. L.; Berliner, D. C. (1992). Educational Psychology. Princeton, New Jersey: Houghton Miflin Com.

Santrock, J. W. (1988). Psychology: The Science And Behaviour. Ioawa: C. Brown Publishers.

Lek, D. J. ; Kinzer, C. K. (1993). Effective Reading, Instruction K-8. New York: MacMillan Pub. Com.